Saturday, December 27, 2008

Artikel : Situasi Sebenar Dadah Di Malaysia


TIDAK banyak perkara yang lebih bersifat kontroversi dan menjadi topik larangan seperti penagihan dadah. Menurut Laporan Dadah Sedunia Bangsa-Bangsa Bersatu 2004, masalah penagihan dadah membelenggu hampir setiap negara, tidak kira status ekonomi dan politiknya.

Di Malaysia, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) telah mendaftarkan lebih 300,000 penagih, tetapi agensi ini meramalkan bahawa masih ramai yang belum diambil kira. Malah, beberapa kajian menunjukkan bahawa bagi setiap individu yang berdaftar dengan AADK, mungkin ada tiga atau empat yang tidak mendaftar.
Unjuran tersebut menunjukkan bahawa empat peratus daripada penduduk Malaysia menagih dadah.

Walaupun angka ini agak mengejutkan, ramai orang tidak sedar betapa rumit masalah penagihan dadah dan menganggapnya sebagai satu kelemahan moral atau masalah perwatakan.

Namun, 92.11 peratus daripada mereka yang bergantung kepada dadah adalah pekerja yang diambil bekerja oleh majikan. Justeru, persoalannya ialah jika ketagihan dan kebergantungan kepada dadah disebabkan oleh kegagalan individu mengawal kehidupan mereka, bagaimana lebih 90 peratus daripada mereka boleh diambil bekerja?

Jawapannya ialah ketagihan dan kebergantungan bukan disebabkan oleh kegagalan dan kelemahan peribadi. Pada hakikatnya, ketagihan dan kebergantungan ialah penyakit seperti kebanyakan penyakit kronik lain dan ia memerlukan rawatan.

Setakat ini, ahli sains dan doktor telah mendapati bahawa dadah boleh mempengaruhi otak. Dari segi ketagihan opioid, otak sebenarnya bergantung pada opioid untuk mencetuskan pembebasan dopamin, sejenis bahan yang dibebaskan secara semula jadi dalam otak apabila kita berasa gembira.

Namun, dalam kes individu yang ketagihan opioid, nikmat biasa kehidupan diatasi oleh kegembiraan melampau (euforia) yang dihasilkan oleh opioid, lantas membawa kepada ketagihan dan kebergantungan. Justeru, penagih semakin terdesak untuk mendapatkan opioid, dan ketagihan yang dialami oleh individu tersebut begitu serius sehingga menyebabkan kesakitan fizikal dan boleh mengatasi keperluan dan tanggungjawab hariannya.

Ini menyebabkan mereka mengabaikan orang tersayang, pekerjaan mereka dan minat lain dalam kehidupan mereka. Akhirnya, ketagihan serius menyebabkan opioid digunakan bukan lagi untuk mengalami perasaan euforia, sebaliknya untuk mengurangkan tekanan akibat gejala ‘tarikan’.
Merawat ketagihan opioid di Malaysia

Terdapat 4 bidang utama dalam program pemulihan dadah di Malaysia:
1. Pengesanan dan penyahtoksinan
2. Pemulihan dalam institusi
3. Pemantauan dalam masyarakat dan penjagaan susulan
4. Farmakoterapi atau terapi penggantian dadah (DST)
* Pengesanan dan penyahtoksinan

Sebanyak 22 hospital telah diwartakan sebagai pusat pengesanan ketagihan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia manakala terdapat beberapa buah pusat penyahtoksinan. Proses penyahtoksinan dilakukan menggunakan kaedah ‘berhenti terus’. Kaedah tersebut bermakna penagih perlu menghadapi gejala ‘tarikan’ tanpa sebarang ubat untuk mengurangkan kesannya.

Artikel : Terowong Di Bukit Tinggi


Kerajaan akan meneruskan projek pembinaan terowong bagi menyalur air mentah sepanjang 44.5 kilometer (km) merentasi Banjaran Titiwangsa walaupun sering berlaku kejadian gempa bumi di Bukit Tinggi, Pahang.

Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Maznah Mazlan berkata, projek penyaluran air dari Pahang ke Selangor itu akan diteruskan malah kerajaan telah mengarahkan supaya perancangan guna tanah dan reka bentuk kejuruteraan terowong mengambil kira faktor gempa bumi yang sudah berlaku.

Ia juga perlu mengambil kira faktor gempa bumi yang akan berlaku pada masa hadapan sebagaimana diamalkan oleh negara-negara yang sering menghadapi bencana ini seperti Indonesia, Filipina, Jepun, China dan Iran.

Selain pembinaan terowong, semua aktiviti pembangunan sosioekonomi di Bukit Tinggi dan kawasan sekitarnya masih boleh diteruskan.

Dalam pada itu, kejadian gempa bumi di kawasan berkenaan mula dikesan sejak 30 November 2007 dengan yang terakhir pada 25 Mei lalu, melibatkan keseluruhannya sebanyak 20 kali.

Kekuatan gempa yang direkodkan setakat ini adalah berjulat dari 2.5 hingga 3.5 magnitud pada skala Richter iaitu kelas gempa bumi kecil dan ia dikategorikan pada tahap I hingga IV pada skala Modified Mercalli Intensity iaitu termasuk dalam kelas gegaran lemah.

Setakat ini, tiada kerosakan struktur dan bangunan boleh dikaitkan berpunca daripada gempa yang berlaku. Berdasarkan Bancian Geologi Amerika Syarikat (USGS), kekuatan gempa pada tahap IV ke bawah tidak akan menyebabkan kerosakan.

Pergerakan kerak bumi ekoran gempa bumi besar dalam beberapa tahun kebelakangan ini di jaluran gempa bumi Sumatera, Indonesia telah menyebabkan pergerakan blok-blok batuan dalam zon sesar Bukit Tinggi. Sesar Bukit Tinggi ialah sepanjang 80 km bermula dari Kuala Kelawang, Negeri Sembilan hingga ke Kuala Kubu Baru, Selangor.

Yang menjadi tanda tanya, adakah terowong ini wajar diteruskan juga? Tidakkah ianya mengganggu ekosistem kawasan berkenaan dan tidak cukupkah lagi dengan tragedi di Highland Tower dan di Bukit Antarabangsa?

Lu pikir la sendiri..

Ilmiah : Nabi Ibrahim melawan Raja Namrud


APAKAH kamu tidak memerhatikan orang yang mendebat Ibrahim tentang Tuhannya (Allah) kerana Allah memberikan kepada orang itu pemerintahan (kekuasaan). Ketika Ibrahim mengatakan: "Tuhanku ialah Yang Menghidupkan dan Yang Mematikan." Orang itu berkata: "Saya dapat menghidupkan dan mematikan." Ibrahim berkata, "Sesungguhnya Allah menerbitkan matahari dari timur, maka terbitkanlah dia dari barat." Lalu terdiamlah orang kafir itu dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang zalim. (al-Baqarah: 258)

Peristiwa ini berlaku selepas sahaja baginda keluar dari api yang membakar dirinya. Nabi Ibrahim semakin bersemangat untuk meneruskan dakwah kerana bertambah yakin dengan petunjuk dan perlindungan daripada Allah SWT. Baginda menjalankan dakwah tidak berhenti-henti kepada kaumnya.

Suatu hari, kegiatan dakwahnya itu telah diketahui oleh Raja Namrud. Raja Namrud berasa sangat risau dan susah hati. Dia bimbang kekuasaannya akan tergugat kerana dakwah yang dijalankan oleh Nabi Ibrahim. Dia juga bimbang sekiranya kerajaannya akan musnah disebabkan oleh pengaruh dan dakwah yang dijalankan oleh Nabi Ibrahim.

Raja Namrud telah memanggil Nabi Ibrahim supaya datang mengadapnya. Apabila Nabi Ibrahim tiba, Raja Namrud pun bertanya kepada Nabi Ibrahim:
"Apakah fitnah dan api permusuhan yang engkau sebar dan engkau khabarkan di tengah-tengah rakyatku? Siapa Tuhan yang engkau minta rakyatku menyembahnya? Ada lagikah Tuhan yang engkau kenal dan patut disembah selain aku? Siapa yang mempunyai kedudukan setinggi kedudukanku dan siapa yang memiliki kekuasaan seluas kekuasaanku? Tidakkah engkau nampak, aku berkuasa mengatur dan mentadbir kerajaanku yang luas ini, menetapkan dan membatalkan sesuatu menurut kehendakku tanpa ada sesiapa dapat menghalangnya ? Segala keputusanku ditaati dan tidak ada sesiapa pun dapat menundanya. Semua orang bergantung kepadaku untuk meminta pertolongan dan mereka tidak berani melawannya. Mengapa engkau berani menentang aku? Kamu bukan menghina malah merosakkan sembahan-sembahan rakyatku."

Nabi Ibrahim pun menjawab kata-kata Raja Namrud itu dengan tenang sekali, "Aku tidak menyebarkan fitnah atau menimbulkan kekacauan. Aku hanya membawa kebenaran dan mahu menghapuskan kesesatan. Aku mengajak orang ramai supaya menyekbah Allah, Tuhan yang menghidupkan dan mematikan, memberi kehidupan kepada makhluk-Nya atau mencabut nyawa. Itulah Tuhan yang aku sembah dan aku mengajak orang menyembah-Nya. Bukan patung-patung yang dibuat oleh mereka sendiri."

Namrud berasa amat tidak berpuas hati. "Jika Tuhan yang engkau sembah dapat menghidupkan dan mematikan, aku pun mampu melakukannya. Seseorang yang mesti menjalani hukuman mati apabila diampunkan olehku maka dia akan hidup dan apabila orang itu dijatuhi hukuman mati, maka ertinya aku telah mematikan dia. Sekarang tidak ada bezanya Tuhanmu dengan diriku. Mengapa engkau tidak menyembahku?"

Nabi Ibrahim masih tidak berputus asa. "Baiklah, Tuhanku telah menciptakan matahari dengan kedudukan terbit setiap hari di sebelah timur dan terbenam di sebelah barat. Jika engkau benar-benar berkuasa, cubalah engkau ubah kedudukannya itu. Dapatkah engkau melakukannya?"
Namrud akhirnya terdiam seketika. Dia tidak dapat melawan kata-kata dan hujah daripada Nabi Ibrahim.

Mulai dari saat itulah, Namrud menganggap Nabi Ibrahim sebagai musuh yang perlu dilayan dengan berhati-hati. Dia tidak mahu menampakkan kebencian yang nyata kepada Nabi Ibrahim. Sebagai langkah berjaga-jaga Namrud telah menghantar beberapa pasukan pengawal untuk menyiasat segala kegiatan Nabi Ibrahim.

Info : Bulan Terbesar?


Bulan boleh dilihat dalam beberapa bentuk seperti ketika bulan sabit, bulan penuh serta gerhana bulan.

Bagaimanapun gambar yang dirakamkan di Forth Worth, Texas pada 13 Disember 2008 ini menunjukkan bulan pada saiznya yang terbesar di lihat dari jarak terdekat dengan bumi pada tahun ini.

Menurut NASA, saiz bulan dari jarak berkenaan adalah 14 peratus lebih besar dan 30 peratus lebih terang berbanding ketika bulan penuh.

Pergerakan bulan sangat penting kepada bumi dan ia membuat pusingan lengkap mengelilingi bumi selama 27.3 hari.

Kejadian pasang surut air laut juga ada kaitan dengan bulan apabila ia berlaku disebabkan tarikan graviti bulan.

P/S : Adakah ianya merupakan petanda untuk sesuatu? Wallahualam..

Info : Kapal Berkuasa Solar


Tentu ramai yang tertanya-tanya adakah benar tenaga daripada cahaya matahari mampu menggerakkan kapal, terutama kapal dagang yang membawa kargo.

Itulah hakikatnya, kemajuan teknologi telah menjadikan perkara itu satu kenyataan. Sebuah kapal pengangkut Auriga Leader, muncul sebagai kapal pertama digerakkan menggunakan sebahagian tenaga suria.

Kapal itu yang berharga kira-kira 150 juta yen (RM5.86 juta) itu menggunakan 328 panel solar bagi menjana sebahagian tenaga untuk menggerakkannya.

Kapal seberat 60,213 tan dan panjang 200 meter ini dibina oleh syarikat pembuat kapal, Nippon Yusen K.K. dan pembekal minyak Nippon Oil Corp milik Jepun.

Ia dicipta bagi menjimatkan penggunaan bahan api, di samping mengelakkan daripada berlakunya pencemaran.

Thursday, December 25, 2008

Misi Mustahil

Salam perkenalan..

Saya sepatutnya membuat post ini pada awal-awal lagi penubuhan blog Visi Malaysia akan tetapi oleh kerana masih belum cukup bahan rujukan dan juga atas sebab-sebab tertentu jadi barulah sekarang saya berpeluang untuk menerangkan kepada semua pembaca yang dimuliakan tentang tujuan dan objektif utama blog ini.

Jika diperhatikan industri blog Malaysia pada hari ini makin hari semakin berkembang dan rata-rata 2/10 rakyat Malaysia sekarang ini mempunyai blog sendiri. Ini adalah sesuatu yang patut dibanggakan oleh kita sebagai rakyat Malaysia. 'Blogging' ini boleh dikatakan sebagai harus bagi setiap pelayar Internet tempatan dan boleh dikategorikan sebagai trend oleh golongan remaja Malaysia masakini.

Ada pelbagai tajuk-tajuk atau topik-topik blog yang dihasilkan terutamanya bertemakan seperti politik, muzik, kegiatan sesebuah organisasi, panduan ataupun perlancongan dan andai kita lihat blog yang berkaitan dengan politik, biasanya ianya dihasilkan atau ditulis oleh golongan yang berumur seperti orang-orang yang berpengalaman di dalam bidang politik itu sendiri ataupun para pengkritik.

Diatas pengamatan saya selama lebih kurang 3 tahun melayari dan mengikuti perkembangan blog-blog berkisar tentang politik ataupun isu-isu semasa ini apa yang saya dapati adalah kebanyakan daripada artikel-artikel yang dikeluarkan oleh mereka kelihatan seperti agak berat sebelah. Apa yang diwawarkan kebanyakannya bertujuan untuk menghasut pemikiran pembaca untuk menghala ke fahaman mereka dan demi kepentingan politik parti masing-masing. Kebanyakannya juga hanya menyatakan tentang pro masing-masing dan mengabaikan kontra mereka.

Oleh atas sebab itu saya terpanggil untuk menghasilkan 'sesuatu' yang juga berkisarkan politik dan isu semasa tetapi ianya daripada sudut pandangan atau perspektif remaja, tidak ada sebarang fahaman mana-mana parti politik dan juga ianya BEBAS. Di dalam blog ini juga saya akan selitkan juga info-info atau maklumat-maklumat yang berguna yang boleh dikaitkan dengan isu semasa dan ingin saya tegaskan disini sekali lagi ianya bukanlah berteraskan tentang politik semata-mata.

Blog ini bukanlah saya hasilkan untuk menjatuhkan sesiapa ataupun mana-mana parti politik dan apa yang saya ingin para pembaca tahu adalah niat saya ikhlas untuk kemajuan dan perpaduan rakyat Malaysia bersama. Akhir sekali andai ada salah ataupun silap di sepanjang penulisan artikel-artikel saya disini saya ingin meminta maaf dan anda semua sebagai pembaca digalakkan memberi sebarang info tambahan atau komen yang bijak.

Jika anda ada sebarang idea yang bernas yang ingin berkongsi bersama anda bolehlah emelkan kepada saya di starneo@ymail.com ataupun berhubung terus melalui Yahoo Messenger : neohanif .

Sekian.

Dari Malaysia untuk Malaysia

Wednesday, December 24, 2008

Artikel : Sekolah Satu Aliran?

Ianya merupakan satu cadangan yang berani dan bernas sekali pada waktu ini demi melahirkan generasi yang beridentitikan Malaysia dan ianya mampu mewujudkan integrasi nasional yang lebih berkesan bagi jangka masa panjang. Sistem yang ada sekarang ini memerlukan transformasi kerana terdapat ramai pelajar dari berbilang kaum yang tidak fasih menggunakan bahasa kebangsaan iaitu Bahasa Melayu.

Melalui bahasa kita juga dapat merapatkan hubungan diantara kaum dan rakyat boleh berbangga kerana mempunyai satu bahasa yang mencerminkan imej negara. Sistem yang sedia ada sekarang juga mengelirukan pelajar berkomunikasi terutama apabila melanjutkan pelajaran ke luar negara dan sudah tentu mengundang persoalan di kalangan warga asing yang mungkin berpendapat pelajar negara ini tidak mempunyai identiti Malaysia malah mungin menyangka mereka daripada negara China ataupun India.

Perkara ini dicadangkan oleh Professor Emeritus, Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim dan disokong kuat oleh Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa).
Tetapi apa yang dicadangkan oleh beliau masih tidak cukup bagi menyatupadukan kaum-kaum di Malaysia ini kerana sistem seperti ini juga mempunyai kelemahan ataupun tindak balas yang negatif untuk jangka masa panjang kerana perpaduan tidak boleh dipupuk hanya dari aspek fizikal iaitu dari segi bahasa dan pergaulan semata-mata. Perpaduan haruslah diterapkan dari aspek ilmiah dan rohani iaitu dari segi semangat perpaduan dan mentaliti kaum.
Oleh itu cadangan Dato' Mukhriz adalah tepat pada masanya iaitu mewujudkan satu sistem pendidikan yang berteraskan semangat kebangsaan.

Sistem yang dicadangkan oleh Dato' Mukhriz itu adalah bertujuan untuk mengelakkan polarisasi kaum dan antara isi kandungannya adalah semua sekolah pelbagai jenis akan diserap melalui entiti tunggal dengan Bahasa Melayu sebagai pengantaraan kecuali matapelajaran Sains dan Matematik diajar dalam Bahasa Inggeris dan tiada disebut akan menutup sekolah-sekolah vernakular dan tidak membabitkan kedudukan Sekolah Agama kerana ianya telah termaktub di dalam Perlembagaan Malaysia.

Secara dasarnya apa yang dicadangkan oleh beliau adalah benar dan bukanlah satu usaha untuk menghapuskan adat dan budaya kaum lain di negara ini tetapi yang menjadi permasalahannya pula kerajaan dilihat begitu komited untuk mempunyai sekolah bantuan kerajaan dan ianya secara terus terang memang tidak akan membawa apa-apa perubahan kepada penyatuan kaum di Malaysia. Ianya disokong oleh bekas perdana menteri Malaysia iaitu bapa beliau sendiri, Tun Dr. Mahathir.

Kerajaan haruslah bersikap lebih sensitif terhadap keperluan dan kehendak majoriti masyarakat yang diwakilinya dan kegagalan untuk berbuat demikian akan menyebabkan masyarakat akan berpaling tadah dan itulah risiko yang paling digeruni oleh kerajaan sendiri.

P/S : Ada sesetengah pemimpin hari ini yang gagal menjadi seorang pemimpin yang baik kerana dia tidak memenuhi kehendak dan keperluan rakyat. Walaupun sebelum ini dia merupakan seorang pemimpin yang baik tetapi apabila berkuasa, dia merasakan tidak perlu buat apa yang dikhendaki oleh masyarakat dan hanya melihat kepada kepentingan diri sendiri semata-mata.