Monday, December 22, 2008

Ilmiah : Apakah Tasyabbuh?


Tasyabbuh di ambil dari perkataan al-Musyabahah yang bermaksud meniru, mencontohi, menjalin, mengaitkan diri dan mengikuti.
Abdul Aziz Bin Baz, ulama Saudi menerangkan bahawa tasyabbuh yang dilarang dalam Islam ialah meniru orang kafir dalam segala bentuk aqidah, ibadah, kebudayaan dan tingkah laku yang menunjukkan ciri khas golongan non Muslim. Ini berasaskan hadith Rasulullah yang bermaksud: "Barangsiapa menyerupai sesuatu kaum, maka dia adalah sebahagian daripada mereka." (Hadith Riwayat Abu Daud)

Majlis Fatwa Kebangsaan (MFK) pada Oktober baru-baru ini telah menjelaskan bahawa pengharaman yoga adalah kerana ia berkait rapat dengan agama Hindu. Keputusan MFK berketepatan dengan sabda Rasulullah di atas. Terdapat beberapa hikmah kenapa kenapa umat Islam dilarang menyerupai golongan bukan Islam:
1) Kesemua ajaran agama selain Islam dibangun di atas asas yang terpesong dan rosak.
2) Dengan meniru perbuatan orang bukan Islam akan menimbulkan rasa kagum kepada kepercayaan dan tata cara hidup mereka.
3) Meniru ajaran orang bukan Islam, ia menjadikan umat Islam pengikut mereka.
4) Melahirkan rasa cinta dan kesetiaan kepada orang yang ditiru iaitu bukan Islam.
5) Menyebabkan umat Islam terjerumus ke dalam kehinaan kerana akan sentiasa merasa rendah diri keada orang yang ditiru.

Jika kita mengamati isu pengkid pula, ia berkaitan dengan hukum tasyabbuh juga iaitu larangan menyerupai jantina lawan. Ini jelas berdasarkan hadith Rasulullah iaitu : Dari Ibn Abbas R.A meriwayatkan bahawa :"Rasulullah SAW melaknat lelaki yang menyerupai wanita dan wanita menyerupai lelaki."( Hadith Riwayat al-Bukhari) Rasulullah SAW melaknat lelaki yang memakai pakaian wanita dan wanita yang memakai pakaian lelaki (Hadith Riwayat Abu Daud). Berdasarkan tersebut jelas terbukti bahawa fatwa yang dikeluarkan oleh MFK berketepatan dengan al-Quran dan as-Sunnah.

Oleh kerana itu umat Islam hendaklah patuh dan tunduk kepada-Nya. Sebagaimana firman Allah : Dan sesiapa yang menentang (ajaran) Rasulullah sesudah terang nyata kepadanya kebenaran petunjuk (yang dibawanya), dan dia pula mengikut jalan yang lain dari jalan orang-orang yang beriman, Kami akan memberikannya kuasa untuk melakukan (kesesatan) yang dipilihnya dan (pada hari kiamat kelak) kami akan memasukkannya ke dalam neraka jahanam; dan neraka jahanam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali (An-Nisa':115)

No comments:

Post a Comment