Thursday, December 25, 2008

Misi Mustahil

Salam perkenalan..

Saya sepatutnya membuat post ini pada awal-awal lagi penubuhan blog Visi Malaysia akan tetapi oleh kerana masih belum cukup bahan rujukan dan juga atas sebab-sebab tertentu jadi barulah sekarang saya berpeluang untuk menerangkan kepada semua pembaca yang dimuliakan tentang tujuan dan objektif utama blog ini.

Jika diperhatikan industri blog Malaysia pada hari ini makin hari semakin berkembang dan rata-rata 2/10 rakyat Malaysia sekarang ini mempunyai blog sendiri. Ini adalah sesuatu yang patut dibanggakan oleh kita sebagai rakyat Malaysia. 'Blogging' ini boleh dikatakan sebagai harus bagi setiap pelayar Internet tempatan dan boleh dikategorikan sebagai trend oleh golongan remaja Malaysia masakini.

Ada pelbagai tajuk-tajuk atau topik-topik blog yang dihasilkan terutamanya bertemakan seperti politik, muzik, kegiatan sesebuah organisasi, panduan ataupun perlancongan dan andai kita lihat blog yang berkaitan dengan politik, biasanya ianya dihasilkan atau ditulis oleh golongan yang berumur seperti orang-orang yang berpengalaman di dalam bidang politik itu sendiri ataupun para pengkritik.

Diatas pengamatan saya selama lebih kurang 3 tahun melayari dan mengikuti perkembangan blog-blog berkisar tentang politik ataupun isu-isu semasa ini apa yang saya dapati adalah kebanyakan daripada artikel-artikel yang dikeluarkan oleh mereka kelihatan seperti agak berat sebelah. Apa yang diwawarkan kebanyakannya bertujuan untuk menghasut pemikiran pembaca untuk menghala ke fahaman mereka dan demi kepentingan politik parti masing-masing. Kebanyakannya juga hanya menyatakan tentang pro masing-masing dan mengabaikan kontra mereka.

Oleh atas sebab itu saya terpanggil untuk menghasilkan 'sesuatu' yang juga berkisarkan politik dan isu semasa tetapi ianya daripada sudut pandangan atau perspektif remaja, tidak ada sebarang fahaman mana-mana parti politik dan juga ianya BEBAS. Di dalam blog ini juga saya akan selitkan juga info-info atau maklumat-maklumat yang berguna yang boleh dikaitkan dengan isu semasa dan ingin saya tegaskan disini sekali lagi ianya bukanlah berteraskan tentang politik semata-mata.

Blog ini bukanlah saya hasilkan untuk menjatuhkan sesiapa ataupun mana-mana parti politik dan apa yang saya ingin para pembaca tahu adalah niat saya ikhlas untuk kemajuan dan perpaduan rakyat Malaysia bersama. Akhir sekali andai ada salah ataupun silap di sepanjang penulisan artikel-artikel saya disini saya ingin meminta maaf dan anda semua sebagai pembaca digalakkan memberi sebarang info tambahan atau komen yang bijak.

Jika anda ada sebarang idea yang bernas yang ingin berkongsi bersama anda bolehlah emelkan kepada saya di starneo@ymail.com ataupun berhubung terus melalui Yahoo Messenger : neohanif .

Sekian.

Dari Malaysia untuk Malaysia

No comments:

Post a Comment