Monday, December 22, 2008

Artikel : Industri Muzikku..


Pada masa kini kita dapat lihat perkembangan industri muzik tempatan agak perlahan ataupun masih lagi di takuk lama. Kebanyakan daripada artis-artis tempatan masih lagi sibuk menyanyikan lagu-lagu berkisarkan cinta, kasih sayang dan air mata semata-mata seperti sudah menjadi kebiasaan ataupun lazim dalam sesebuah lagu tempatan.

Dimanakah silapnya?

Adakah kerana rata-rata peminat muzik tanahair masih lagi meminati lagu-lagu seperti itu ataupun para pencipta lagu tempatan takut untuk mencuba sesuatu yang baru.
Saya terpetik untuk menulis artikel ini kerana sudah bosan ataupun jelik atau lebih enak lagi menyampah untuk mendengar lagu tempatan bukan kerana ianya sudah ketinggalan zaman tetapi jika kita asyik mengulangi melodi yang sama, tempo yang sama dan perkataan yang sama dalam sesebuah lagu adakah anda sebagai pendengar akan berasa terhibur?

Pada asasnya muzik terdiri daripada beberapa not sahaja iaitu a,b,c,d,e,f,g dan do,re,mi,fa,so,la,ti dan do tidak ada lebih daripada itu dan jika adapun hanyalah sub-sub ataupun pecahan-pecahan not sahaja.
Pencipta lagu haruslah menjadi lebih kreatif untuk mencipta sesuatu yang baru. Bak kata idola saya Tun Dr. Mahathir, "To become a successor you have to be a pioneer not a follower," Falsafah itu boleh diterapkan dalam semua bidang terutamanya bidang perniagaan.

Jika kita lihat baru-baru ini muzik indie baru sahaja diketengahkan di Malaysia setelah bertahun-tahun meletup di negara jiran. Sebenarnya sebelum itu berpuluh-puluh, malah beratus-ratus band-band indie Malaysia sedang menunggu album mereka direkodkan kerana syarikat-syarikat rakaman tempatan takut untuk mengambil risiko "Malaysiaku belum sampai SERU" yang saya sendiri tidak pasti siapa yang mengilhamkannya.
Hasilnya lihat sahajalah penguasaan industri muzik tempatan bukan kata untuk melebarkan sayap ke negara-negara jiran tetapi di tanahair sendiri pun masih lagi terkedek-kedek mencari tempat.
Tetapi bukanlah semua artis-artis Malaysia begitu kerana ada diantaranya sudahpun berjaya di persada dunia dan ada yang sudah mendapat gelaran tertentu. Ini kerana usaha mereka, bakat mereka dan juga idea mereka untuk memartabatkan industri muzik tanahair adalah hebat. Mereka bukanlah artis mee segera yang 'dihasilkan' oleh syarikat-syarikat tempatan yang hanya menggunakan artis-artis 'buatan' mereka itu untuk mengaut keuntungan semata-mata.

Sampai bilakah industri muzik (ataupun lebih tepat lagi semua industri) tempatan kita akan menjadi begini? Kerajaan dilihat seperti terlepas pandang tentang isu-isu begini kerana sibuk dengan kempen pilihanraya sana-sini sahaja.

Jadi hanya kita sebagai 'peminat' dan peminat sahajalah yang dapat merobah semua ini kerana tanpa kita semua siapalah mereka.

P/S : Tepuk dada tanya selera.

No comments:

Post a Comment