Saturday, December 27, 2008

Artikel : Situasi Sebenar Dadah Di Malaysia


TIDAK banyak perkara yang lebih bersifat kontroversi dan menjadi topik larangan seperti penagihan dadah. Menurut Laporan Dadah Sedunia Bangsa-Bangsa Bersatu 2004, masalah penagihan dadah membelenggu hampir setiap negara, tidak kira status ekonomi dan politiknya.

Di Malaysia, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) telah mendaftarkan lebih 300,000 penagih, tetapi agensi ini meramalkan bahawa masih ramai yang belum diambil kira. Malah, beberapa kajian menunjukkan bahawa bagi setiap individu yang berdaftar dengan AADK, mungkin ada tiga atau empat yang tidak mendaftar.
Unjuran tersebut menunjukkan bahawa empat peratus daripada penduduk Malaysia menagih dadah.

Walaupun angka ini agak mengejutkan, ramai orang tidak sedar betapa rumit masalah penagihan dadah dan menganggapnya sebagai satu kelemahan moral atau masalah perwatakan.

Namun, 92.11 peratus daripada mereka yang bergantung kepada dadah adalah pekerja yang diambil bekerja oleh majikan. Justeru, persoalannya ialah jika ketagihan dan kebergantungan kepada dadah disebabkan oleh kegagalan individu mengawal kehidupan mereka, bagaimana lebih 90 peratus daripada mereka boleh diambil bekerja?

Jawapannya ialah ketagihan dan kebergantungan bukan disebabkan oleh kegagalan dan kelemahan peribadi. Pada hakikatnya, ketagihan dan kebergantungan ialah penyakit seperti kebanyakan penyakit kronik lain dan ia memerlukan rawatan.

Setakat ini, ahli sains dan doktor telah mendapati bahawa dadah boleh mempengaruhi otak. Dari segi ketagihan opioid, otak sebenarnya bergantung pada opioid untuk mencetuskan pembebasan dopamin, sejenis bahan yang dibebaskan secara semula jadi dalam otak apabila kita berasa gembira.

Namun, dalam kes individu yang ketagihan opioid, nikmat biasa kehidupan diatasi oleh kegembiraan melampau (euforia) yang dihasilkan oleh opioid, lantas membawa kepada ketagihan dan kebergantungan. Justeru, penagih semakin terdesak untuk mendapatkan opioid, dan ketagihan yang dialami oleh individu tersebut begitu serius sehingga menyebabkan kesakitan fizikal dan boleh mengatasi keperluan dan tanggungjawab hariannya.

Ini menyebabkan mereka mengabaikan orang tersayang, pekerjaan mereka dan minat lain dalam kehidupan mereka. Akhirnya, ketagihan serius menyebabkan opioid digunakan bukan lagi untuk mengalami perasaan euforia, sebaliknya untuk mengurangkan tekanan akibat gejala ‘tarikan’.
Merawat ketagihan opioid di Malaysia

Terdapat 4 bidang utama dalam program pemulihan dadah di Malaysia:
1. Pengesanan dan penyahtoksinan
2. Pemulihan dalam institusi
3. Pemantauan dalam masyarakat dan penjagaan susulan
4. Farmakoterapi atau terapi penggantian dadah (DST)
* Pengesanan dan penyahtoksinan

Sebanyak 22 hospital telah diwartakan sebagai pusat pengesanan ketagihan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia manakala terdapat beberapa buah pusat penyahtoksinan. Proses penyahtoksinan dilakukan menggunakan kaedah ‘berhenti terus’. Kaedah tersebut bermakna penagih perlu menghadapi gejala ‘tarikan’ tanpa sebarang ubat untuk mengurangkan kesannya.

Artikel : Terowong Di Bukit Tinggi


Kerajaan akan meneruskan projek pembinaan terowong bagi menyalur air mentah sepanjang 44.5 kilometer (km) merentasi Banjaran Titiwangsa walaupun sering berlaku kejadian gempa bumi di Bukit Tinggi, Pahang.

Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Maznah Mazlan berkata, projek penyaluran air dari Pahang ke Selangor itu akan diteruskan malah kerajaan telah mengarahkan supaya perancangan guna tanah dan reka bentuk kejuruteraan terowong mengambil kira faktor gempa bumi yang sudah berlaku.

Ia juga perlu mengambil kira faktor gempa bumi yang akan berlaku pada masa hadapan sebagaimana diamalkan oleh negara-negara yang sering menghadapi bencana ini seperti Indonesia, Filipina, Jepun, China dan Iran.

Selain pembinaan terowong, semua aktiviti pembangunan sosioekonomi di Bukit Tinggi dan kawasan sekitarnya masih boleh diteruskan.

Dalam pada itu, kejadian gempa bumi di kawasan berkenaan mula dikesan sejak 30 November 2007 dengan yang terakhir pada 25 Mei lalu, melibatkan keseluruhannya sebanyak 20 kali.

Kekuatan gempa yang direkodkan setakat ini adalah berjulat dari 2.5 hingga 3.5 magnitud pada skala Richter iaitu kelas gempa bumi kecil dan ia dikategorikan pada tahap I hingga IV pada skala Modified Mercalli Intensity iaitu termasuk dalam kelas gegaran lemah.

Setakat ini, tiada kerosakan struktur dan bangunan boleh dikaitkan berpunca daripada gempa yang berlaku. Berdasarkan Bancian Geologi Amerika Syarikat (USGS), kekuatan gempa pada tahap IV ke bawah tidak akan menyebabkan kerosakan.

Pergerakan kerak bumi ekoran gempa bumi besar dalam beberapa tahun kebelakangan ini di jaluran gempa bumi Sumatera, Indonesia telah menyebabkan pergerakan blok-blok batuan dalam zon sesar Bukit Tinggi. Sesar Bukit Tinggi ialah sepanjang 80 km bermula dari Kuala Kelawang, Negeri Sembilan hingga ke Kuala Kubu Baru, Selangor.

Yang menjadi tanda tanya, adakah terowong ini wajar diteruskan juga? Tidakkah ianya mengganggu ekosistem kawasan berkenaan dan tidak cukupkah lagi dengan tragedi di Highland Tower dan di Bukit Antarabangsa?

Lu pikir la sendiri..

Ilmiah : Nabi Ibrahim melawan Raja Namrud


APAKAH kamu tidak memerhatikan orang yang mendebat Ibrahim tentang Tuhannya (Allah) kerana Allah memberikan kepada orang itu pemerintahan (kekuasaan). Ketika Ibrahim mengatakan: "Tuhanku ialah Yang Menghidupkan dan Yang Mematikan." Orang itu berkata: "Saya dapat menghidupkan dan mematikan." Ibrahim berkata, "Sesungguhnya Allah menerbitkan matahari dari timur, maka terbitkanlah dia dari barat." Lalu terdiamlah orang kafir itu dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang zalim. (al-Baqarah: 258)

Peristiwa ini berlaku selepas sahaja baginda keluar dari api yang membakar dirinya. Nabi Ibrahim semakin bersemangat untuk meneruskan dakwah kerana bertambah yakin dengan petunjuk dan perlindungan daripada Allah SWT. Baginda menjalankan dakwah tidak berhenti-henti kepada kaumnya.

Suatu hari, kegiatan dakwahnya itu telah diketahui oleh Raja Namrud. Raja Namrud berasa sangat risau dan susah hati. Dia bimbang kekuasaannya akan tergugat kerana dakwah yang dijalankan oleh Nabi Ibrahim. Dia juga bimbang sekiranya kerajaannya akan musnah disebabkan oleh pengaruh dan dakwah yang dijalankan oleh Nabi Ibrahim.

Raja Namrud telah memanggil Nabi Ibrahim supaya datang mengadapnya. Apabila Nabi Ibrahim tiba, Raja Namrud pun bertanya kepada Nabi Ibrahim:
"Apakah fitnah dan api permusuhan yang engkau sebar dan engkau khabarkan di tengah-tengah rakyatku? Siapa Tuhan yang engkau minta rakyatku menyembahnya? Ada lagikah Tuhan yang engkau kenal dan patut disembah selain aku? Siapa yang mempunyai kedudukan setinggi kedudukanku dan siapa yang memiliki kekuasaan seluas kekuasaanku? Tidakkah engkau nampak, aku berkuasa mengatur dan mentadbir kerajaanku yang luas ini, menetapkan dan membatalkan sesuatu menurut kehendakku tanpa ada sesiapa dapat menghalangnya ? Segala keputusanku ditaati dan tidak ada sesiapa pun dapat menundanya. Semua orang bergantung kepadaku untuk meminta pertolongan dan mereka tidak berani melawannya. Mengapa engkau berani menentang aku? Kamu bukan menghina malah merosakkan sembahan-sembahan rakyatku."

Nabi Ibrahim pun menjawab kata-kata Raja Namrud itu dengan tenang sekali, "Aku tidak menyebarkan fitnah atau menimbulkan kekacauan. Aku hanya membawa kebenaran dan mahu menghapuskan kesesatan. Aku mengajak orang ramai supaya menyekbah Allah, Tuhan yang menghidupkan dan mematikan, memberi kehidupan kepada makhluk-Nya atau mencabut nyawa. Itulah Tuhan yang aku sembah dan aku mengajak orang menyembah-Nya. Bukan patung-patung yang dibuat oleh mereka sendiri."

Namrud berasa amat tidak berpuas hati. "Jika Tuhan yang engkau sembah dapat menghidupkan dan mematikan, aku pun mampu melakukannya. Seseorang yang mesti menjalani hukuman mati apabila diampunkan olehku maka dia akan hidup dan apabila orang itu dijatuhi hukuman mati, maka ertinya aku telah mematikan dia. Sekarang tidak ada bezanya Tuhanmu dengan diriku. Mengapa engkau tidak menyembahku?"

Nabi Ibrahim masih tidak berputus asa. "Baiklah, Tuhanku telah menciptakan matahari dengan kedudukan terbit setiap hari di sebelah timur dan terbenam di sebelah barat. Jika engkau benar-benar berkuasa, cubalah engkau ubah kedudukannya itu. Dapatkah engkau melakukannya?"
Namrud akhirnya terdiam seketika. Dia tidak dapat melawan kata-kata dan hujah daripada Nabi Ibrahim.

Mulai dari saat itulah, Namrud menganggap Nabi Ibrahim sebagai musuh yang perlu dilayan dengan berhati-hati. Dia tidak mahu menampakkan kebencian yang nyata kepada Nabi Ibrahim. Sebagai langkah berjaga-jaga Namrud telah menghantar beberapa pasukan pengawal untuk menyiasat segala kegiatan Nabi Ibrahim.

Info : Bulan Terbesar?


Bulan boleh dilihat dalam beberapa bentuk seperti ketika bulan sabit, bulan penuh serta gerhana bulan.

Bagaimanapun gambar yang dirakamkan di Forth Worth, Texas pada 13 Disember 2008 ini menunjukkan bulan pada saiznya yang terbesar di lihat dari jarak terdekat dengan bumi pada tahun ini.

Menurut NASA, saiz bulan dari jarak berkenaan adalah 14 peratus lebih besar dan 30 peratus lebih terang berbanding ketika bulan penuh.

Pergerakan bulan sangat penting kepada bumi dan ia membuat pusingan lengkap mengelilingi bumi selama 27.3 hari.

Kejadian pasang surut air laut juga ada kaitan dengan bulan apabila ia berlaku disebabkan tarikan graviti bulan.

P/S : Adakah ianya merupakan petanda untuk sesuatu? Wallahualam..

Info : Kapal Berkuasa Solar


Tentu ramai yang tertanya-tanya adakah benar tenaga daripada cahaya matahari mampu menggerakkan kapal, terutama kapal dagang yang membawa kargo.

Itulah hakikatnya, kemajuan teknologi telah menjadikan perkara itu satu kenyataan. Sebuah kapal pengangkut Auriga Leader, muncul sebagai kapal pertama digerakkan menggunakan sebahagian tenaga suria.

Kapal itu yang berharga kira-kira 150 juta yen (RM5.86 juta) itu menggunakan 328 panel solar bagi menjana sebahagian tenaga untuk menggerakkannya.

Kapal seberat 60,213 tan dan panjang 200 meter ini dibina oleh syarikat pembuat kapal, Nippon Yusen K.K. dan pembekal minyak Nippon Oil Corp milik Jepun.

Ia dicipta bagi menjimatkan penggunaan bahan api, di samping mengelakkan daripada berlakunya pencemaran.

Thursday, December 25, 2008

Misi Mustahil

Salam perkenalan..

Saya sepatutnya membuat post ini pada awal-awal lagi penubuhan blog Visi Malaysia akan tetapi oleh kerana masih belum cukup bahan rujukan dan juga atas sebab-sebab tertentu jadi barulah sekarang saya berpeluang untuk menerangkan kepada semua pembaca yang dimuliakan tentang tujuan dan objektif utama blog ini.

Jika diperhatikan industri blog Malaysia pada hari ini makin hari semakin berkembang dan rata-rata 2/10 rakyat Malaysia sekarang ini mempunyai blog sendiri. Ini adalah sesuatu yang patut dibanggakan oleh kita sebagai rakyat Malaysia. 'Blogging' ini boleh dikatakan sebagai harus bagi setiap pelayar Internet tempatan dan boleh dikategorikan sebagai trend oleh golongan remaja Malaysia masakini.

Ada pelbagai tajuk-tajuk atau topik-topik blog yang dihasilkan terutamanya bertemakan seperti politik, muzik, kegiatan sesebuah organisasi, panduan ataupun perlancongan dan andai kita lihat blog yang berkaitan dengan politik, biasanya ianya dihasilkan atau ditulis oleh golongan yang berumur seperti orang-orang yang berpengalaman di dalam bidang politik itu sendiri ataupun para pengkritik.

Diatas pengamatan saya selama lebih kurang 3 tahun melayari dan mengikuti perkembangan blog-blog berkisar tentang politik ataupun isu-isu semasa ini apa yang saya dapati adalah kebanyakan daripada artikel-artikel yang dikeluarkan oleh mereka kelihatan seperti agak berat sebelah. Apa yang diwawarkan kebanyakannya bertujuan untuk menghasut pemikiran pembaca untuk menghala ke fahaman mereka dan demi kepentingan politik parti masing-masing. Kebanyakannya juga hanya menyatakan tentang pro masing-masing dan mengabaikan kontra mereka.

Oleh atas sebab itu saya terpanggil untuk menghasilkan 'sesuatu' yang juga berkisarkan politik dan isu semasa tetapi ianya daripada sudut pandangan atau perspektif remaja, tidak ada sebarang fahaman mana-mana parti politik dan juga ianya BEBAS. Di dalam blog ini juga saya akan selitkan juga info-info atau maklumat-maklumat yang berguna yang boleh dikaitkan dengan isu semasa dan ingin saya tegaskan disini sekali lagi ianya bukanlah berteraskan tentang politik semata-mata.

Blog ini bukanlah saya hasilkan untuk menjatuhkan sesiapa ataupun mana-mana parti politik dan apa yang saya ingin para pembaca tahu adalah niat saya ikhlas untuk kemajuan dan perpaduan rakyat Malaysia bersama. Akhir sekali andai ada salah ataupun silap di sepanjang penulisan artikel-artikel saya disini saya ingin meminta maaf dan anda semua sebagai pembaca digalakkan memberi sebarang info tambahan atau komen yang bijak.

Jika anda ada sebarang idea yang bernas yang ingin berkongsi bersama anda bolehlah emelkan kepada saya di starneo@ymail.com ataupun berhubung terus melalui Yahoo Messenger : neohanif .

Sekian.

Dari Malaysia untuk Malaysia

Wednesday, December 24, 2008

Artikel : Sekolah Satu Aliran?

Ianya merupakan satu cadangan yang berani dan bernas sekali pada waktu ini demi melahirkan generasi yang beridentitikan Malaysia dan ianya mampu mewujudkan integrasi nasional yang lebih berkesan bagi jangka masa panjang. Sistem yang ada sekarang ini memerlukan transformasi kerana terdapat ramai pelajar dari berbilang kaum yang tidak fasih menggunakan bahasa kebangsaan iaitu Bahasa Melayu.

Melalui bahasa kita juga dapat merapatkan hubungan diantara kaum dan rakyat boleh berbangga kerana mempunyai satu bahasa yang mencerminkan imej negara. Sistem yang sedia ada sekarang juga mengelirukan pelajar berkomunikasi terutama apabila melanjutkan pelajaran ke luar negara dan sudah tentu mengundang persoalan di kalangan warga asing yang mungkin berpendapat pelajar negara ini tidak mempunyai identiti Malaysia malah mungin menyangka mereka daripada negara China ataupun India.

Perkara ini dicadangkan oleh Professor Emeritus, Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim dan disokong kuat oleh Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa).
Tetapi apa yang dicadangkan oleh beliau masih tidak cukup bagi menyatupadukan kaum-kaum di Malaysia ini kerana sistem seperti ini juga mempunyai kelemahan ataupun tindak balas yang negatif untuk jangka masa panjang kerana perpaduan tidak boleh dipupuk hanya dari aspek fizikal iaitu dari segi bahasa dan pergaulan semata-mata. Perpaduan haruslah diterapkan dari aspek ilmiah dan rohani iaitu dari segi semangat perpaduan dan mentaliti kaum.
Oleh itu cadangan Dato' Mukhriz adalah tepat pada masanya iaitu mewujudkan satu sistem pendidikan yang berteraskan semangat kebangsaan.

Sistem yang dicadangkan oleh Dato' Mukhriz itu adalah bertujuan untuk mengelakkan polarisasi kaum dan antara isi kandungannya adalah semua sekolah pelbagai jenis akan diserap melalui entiti tunggal dengan Bahasa Melayu sebagai pengantaraan kecuali matapelajaran Sains dan Matematik diajar dalam Bahasa Inggeris dan tiada disebut akan menutup sekolah-sekolah vernakular dan tidak membabitkan kedudukan Sekolah Agama kerana ianya telah termaktub di dalam Perlembagaan Malaysia.

Secara dasarnya apa yang dicadangkan oleh beliau adalah benar dan bukanlah satu usaha untuk menghapuskan adat dan budaya kaum lain di negara ini tetapi yang menjadi permasalahannya pula kerajaan dilihat begitu komited untuk mempunyai sekolah bantuan kerajaan dan ianya secara terus terang memang tidak akan membawa apa-apa perubahan kepada penyatuan kaum di Malaysia. Ianya disokong oleh bekas perdana menteri Malaysia iaitu bapa beliau sendiri, Tun Dr. Mahathir.

Kerajaan haruslah bersikap lebih sensitif terhadap keperluan dan kehendak majoriti masyarakat yang diwakilinya dan kegagalan untuk berbuat demikian akan menyebabkan masyarakat akan berpaling tadah dan itulah risiko yang paling digeruni oleh kerajaan sendiri.

P/S : Ada sesetengah pemimpin hari ini yang gagal menjadi seorang pemimpin yang baik kerana dia tidak memenuhi kehendak dan keperluan rakyat. Walaupun sebelum ini dia merupakan seorang pemimpin yang baik tetapi apabila berkuasa, dia merasakan tidak perlu buat apa yang dikhendaki oleh masyarakat dan hanya melihat kepada kepentingan diri sendiri semata-mata.

Artikel : Pajakku Tergadai



Pernahkah anda bersiar-siar kesemua kawasan di sekitar bandaraya Kuala Lumpur? Ketika pembangunan negara kini sedang rancak membangun dengan sistem pengangkutan yang canggih seperti LRT dan Monorail menyusuri di setiap jalan-jalan utama di Kuala Lumpur ini dan juga bangunan-bangunan tinggi bertambah seperti cendawan tumbuh selepas hujan ada juga kawasan-kawasan yang kita semua terlepas pandang daripada arus kemajuan ini. Salah satu daripadanya adalah kawasan yang berada di tengah-tengah segi tiga emas negara kita iaitu Kampung Baru.


Andai kita lihat daripada segi fizikalnya kawasan itu merupakan satu-satunya kawasan rizab Melayu yang masih lagi boleh bertahan sehingga kini namun ada sesetengah pihak yang cuba untuk menggoyah 'keutuhan' rizab Melayu tersebut atas dasar kepentingan dan keuntungan sendiri. Antara alasan yang kerap kita dengar tentang isu ini adalah orang Melayu tidak pandai mengaplikasikan keadaan semasa atau orang Melayu di kawasan tersebut mensia-siakan sahaja tanah emas tersebut.

Jika kita menyusuri jalan-jalan di kawasan Kampung Baru, apa yang kita dapat bezakan daripada kawasan-kawasan lain di sekitarnya umpama seperti dari bandar New York masuk ke kawasan bandar kecil di Indonesia. Walaupun rata-rata kebanyakan orang Melayu di kawasan itu merupakan ahli politik yang hebat ataupun pengusaha syarikat-syarikat besar nasional tetapi keadaan yang sedih seperti ini tetap berlarutan sehingga bertahun-tahun.

Ini menyebabkan bangsa-bangsa lain yang nampak peluang keemasan ini mencuba sedaya upaya untuk memansuhkan rizab Melayu tersebut ataupun lebih dikenali sebagai 'mama' Melayu. Sebenarnya tanah rizab Melayu ini ataupun lain-lain hak keistimewaan Melayu diwujudkan oleh kerajaan dan rakyat dahulu adalah untuk menjaga dan melindungi hak-hak dan kepentingan Melayu di negara ini agar tidak terjejas daripada semua aspek bukan bertujuan untuk memanjakan atau me'mama'kan orang Melayu sendiri.

Inilah yang sering di salah anggap oleh hampir ke semua orang Melayu dan makin hari semakin merempat di tanah sendiri. Contoh yang jelas sudahpun terpampang di hadapan mata kita iaitu seperti kisah di Jalan Chow Kitt. Jika kita lihat balik sejarah kawasan itu dahulu juga adalah tanah rizab Melayu dimana ramai bangsa-bangsa lain berebut-rebut untuk mengambil tanah 'berlian' itu. Hasilnya kita lihat sahajalah kini apa yang telah terjadi di Chow Kitt.

Semuanya adalah kerana perkataan 'pajak'. Apa yang berlaku disitu pada suatu ketika dahulu ialah bangsa-bangsa yang jenisnya sukakkan duit dan tidak suka kaum lain ini kebanyakannya membuat satu pajakan perangkap pada orang-orang Melayu kita dahulu yang kurang berpengetahuan dalam bidang undang-undang. Mereka mahu memajak tanah-tanah berlian tersebut untuk satu tempoh masa yang agak panjang dengan harga yang tinggi (pada waktu itu).

Di dalam perjanjian tersebut agak sedap mata memandang dengan jumlah yang bakal diterima jika menandatanganinya akan tetapi apa yang mereka (orang Melayu) terlepas pandang adalah syarat-syarat tuan tanah untuk mengambil kembali tanah mereka apabila tamat tempoh matang pajakan iaitu mereka harus membayar segala ganti rugi yang bakal ditanggung oleh si pemajak di atas tanah itu selepas tamat tempoh matang pajakan.

Apa yang menjadi masalahnya adalah jika dalam tempoh tersebut si pemajak membina sebuah bangunan bernilai jutaan ringgit yang kian meningkat nilainya setiap tahun, bagaimana si tuan tanah ini mahu membayar nilai bangunan tersebut sedangkan harga pajakannya hanyalah beberapa ringgit sahaja setahun (mungkin telah habis dibelanjakan). Jadi bagi mengelak tanah tergadai begitu sahaja mereka terpaksalah akur untuk terus memajakkan tanah dan terus berurusan dengan si pemajak yang banyak karenah dalam isu kenaikan harga pajakan.

Jadi apa yang kita dapat lihat hari ini hanyalah nama pada geran tanah sahaja orang Melayu tetapi yang mengaut segala keuntungan dan hasil tanah tersebut adalah kaum lain. Saya bukan mahu menekankan isu perkauman disini kerana bukan salah kaum lain juga dalam perkara ini mungkin ada antara mereka yang juga tidak tahu akan isi kandungan perjanjian yang mereka buat dan mungkin juga niat mereka hanyalah untuk mencari rezeki di tanah orang tetapi inilah yang dinamakan 'dah nasib badan'.

Oleh itu kita sebagai warga yang intelek lagi bijak pandai dengan isu semasa ini haruslah berhati-hati dengan apa-apa yang berkaitan dengan 'perjanjian' kerana ianya melibatkan masa dan wang dan mungkin bakal menghantui anda pada masa akan datang. Wallahualam..

Tuesday, December 23, 2008

Artikel : Krisis Minyak & Ekonomi Global



Harga minyak dunia dijangka terus merundum dan diramal boleh mencecah serendah AS$25 (RM86.50) setong pada tahun depan berikutan permintaan yang sangat lemah terutamanya di kalangan negara-negara industri dunia.

Kejatuhan harga minyak dari negara-negara itu dipercayai pertama kali berlaku selepas tahun 1980-an.Berdasarkan situasi semasa, kedudukan harga minyak sekarang merupakan tindak balas kepada kemelesetan ekonomi global.Pada pendapat saya ianya tidak boleh meningkat dalam tempoh singkat memandangkan kemungkinan OPEC akan terus mengurangkan jumlah pengeluaran sehingga harga minyak kembali stabil.

Ini boleh dilihat dengan pengumumam OPEC untuk mengurangkan pengeluaran minyaknya sebanyak 2.2 juta tong sehari ataupun 7% daripada kuota kartel mulai Januari 2009 untuk mengelakkan harga komoditi itu terus susut.Pengurangan itu dipercayai yang terbesar pernah dilakukan oleh OPEC, yang mengeluarkan 40% daripada keperluan minyak mentah dunia. Harga emas hitam itu pernah mencatatkan rekod tertinggi iaitu AS$147 (RM508.62) setong pada Julai lalu. Kejatuhan harha minyak ini memang dianggap gila oleh semua penganalisis ekonomi kerana tidak ada sesiapapun yang menyangka ia boleh jatuh ke tahap sekarang. Ini adalah kejatuhan dalam sejarah industri minyak.
Dalam kejatuhannya saya ada berasa pelik juga memandangkan kerajaan tempatan mengambil langkah awal bagi mengehadkan harga minimum minyak kerana mahu 'menstabilkan' ekonomi negara. Ini kerana sebelum itu para penyelidik ekonomi Malaysia bahkan seluruh dunia sudahpun mendapat tahu bahawa kemelesetan ekonomi global ini bakal menggugat harga minyak mentah.

Jika kita perhatikan pada sejarah kita yang tidak begitu lama dahulu iaitu pada Julai 2008 kerajaan Malaysia telah mengejutkan rakyat dengan kenaikan harga minyak yang begitu mendadak iaitu daripada RM1.92 seliter ke RM2.75 seliter dengan alasan harga minyak global naik mendadak juga. Tidak tahukah mereka bahawa rakyat Malaysia kini sudah semakin peka dan bijak? Apakah fungsi Petronas untuk negara? Apakah gunanya kualiti minyak yang bagus di Malaysia? Kemanakah janji RMK untuk subsidi minyak rakyat?Walaupun Petronas hanya akan menjadi pengeksport minyak mentah dalam tempoh tidak kurang daripada 5 tahun lagi tetapi dalam masa itu tetap ada hak-hak dan kepentingan rakyat bukannya hanya memikirkan keuntungan sahaja.

Alhamdulillah bersyukur saya kerana Tuhan telah memberi negara kita rezeki yang hanya boleh didapati di negara-negara Islam lain iaitu sesuatu yang boleh menguasai ekonomi dunia tetapi sayang kita tidak pandai menggunakan sebaik-baiknya.Kita hanya asyik memikirkan keuntungan jangka pendek tetapi dalam pelan jangka panjang dilihat begitu jahil sekali. Apa yang kita boleh buat sekarang hanyalah tunggu dan lihat sahaja krisis ekonomi dan harga minyak global yang 'dijangkakan' akan kembali stabil pada penggal ke-3 tahun hadapan.

Insyaallah..

Monday, December 22, 2008

Ilmiah : Apakah Tasyabbuh?


Tasyabbuh di ambil dari perkataan al-Musyabahah yang bermaksud meniru, mencontohi, menjalin, mengaitkan diri dan mengikuti.
Abdul Aziz Bin Baz, ulama Saudi menerangkan bahawa tasyabbuh yang dilarang dalam Islam ialah meniru orang kafir dalam segala bentuk aqidah, ibadah, kebudayaan dan tingkah laku yang menunjukkan ciri khas golongan non Muslim. Ini berasaskan hadith Rasulullah yang bermaksud: "Barangsiapa menyerupai sesuatu kaum, maka dia adalah sebahagian daripada mereka." (Hadith Riwayat Abu Daud)

Majlis Fatwa Kebangsaan (MFK) pada Oktober baru-baru ini telah menjelaskan bahawa pengharaman yoga adalah kerana ia berkait rapat dengan agama Hindu. Keputusan MFK berketepatan dengan sabda Rasulullah di atas. Terdapat beberapa hikmah kenapa kenapa umat Islam dilarang menyerupai golongan bukan Islam:
1) Kesemua ajaran agama selain Islam dibangun di atas asas yang terpesong dan rosak.
2) Dengan meniru perbuatan orang bukan Islam akan menimbulkan rasa kagum kepada kepercayaan dan tata cara hidup mereka.
3) Meniru ajaran orang bukan Islam, ia menjadikan umat Islam pengikut mereka.
4) Melahirkan rasa cinta dan kesetiaan kepada orang yang ditiru iaitu bukan Islam.
5) Menyebabkan umat Islam terjerumus ke dalam kehinaan kerana akan sentiasa merasa rendah diri keada orang yang ditiru.

Jika kita mengamati isu pengkid pula, ia berkaitan dengan hukum tasyabbuh juga iaitu larangan menyerupai jantina lawan. Ini jelas berdasarkan hadith Rasulullah iaitu : Dari Ibn Abbas R.A meriwayatkan bahawa :"Rasulullah SAW melaknat lelaki yang menyerupai wanita dan wanita menyerupai lelaki."( Hadith Riwayat al-Bukhari) Rasulullah SAW melaknat lelaki yang memakai pakaian wanita dan wanita yang memakai pakaian lelaki (Hadith Riwayat Abu Daud). Berdasarkan tersebut jelas terbukti bahawa fatwa yang dikeluarkan oleh MFK berketepatan dengan al-Quran dan as-Sunnah.

Oleh kerana itu umat Islam hendaklah patuh dan tunduk kepada-Nya. Sebagaimana firman Allah : Dan sesiapa yang menentang (ajaran) Rasulullah sesudah terang nyata kepadanya kebenaran petunjuk (yang dibawanya), dan dia pula mengikut jalan yang lain dari jalan orang-orang yang beriman, Kami akan memberikannya kuasa untuk melakukan (kesesatan) yang dipilihnya dan (pada hari kiamat kelak) kami akan memasukkannya ke dalam neraka jahanam; dan neraka jahanam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali (An-Nisa':115)

Artikel : Industri Muzikku..


Pada masa kini kita dapat lihat perkembangan industri muzik tempatan agak perlahan ataupun masih lagi di takuk lama. Kebanyakan daripada artis-artis tempatan masih lagi sibuk menyanyikan lagu-lagu berkisarkan cinta, kasih sayang dan air mata semata-mata seperti sudah menjadi kebiasaan ataupun lazim dalam sesebuah lagu tempatan.

Dimanakah silapnya?

Adakah kerana rata-rata peminat muzik tanahair masih lagi meminati lagu-lagu seperti itu ataupun para pencipta lagu tempatan takut untuk mencuba sesuatu yang baru.
Saya terpetik untuk menulis artikel ini kerana sudah bosan ataupun jelik atau lebih enak lagi menyampah untuk mendengar lagu tempatan bukan kerana ianya sudah ketinggalan zaman tetapi jika kita asyik mengulangi melodi yang sama, tempo yang sama dan perkataan yang sama dalam sesebuah lagu adakah anda sebagai pendengar akan berasa terhibur?

Pada asasnya muzik terdiri daripada beberapa not sahaja iaitu a,b,c,d,e,f,g dan do,re,mi,fa,so,la,ti dan do tidak ada lebih daripada itu dan jika adapun hanyalah sub-sub ataupun pecahan-pecahan not sahaja.
Pencipta lagu haruslah menjadi lebih kreatif untuk mencipta sesuatu yang baru. Bak kata idola saya Tun Dr. Mahathir, "To become a successor you have to be a pioneer not a follower," Falsafah itu boleh diterapkan dalam semua bidang terutamanya bidang perniagaan.

Jika kita lihat baru-baru ini muzik indie baru sahaja diketengahkan di Malaysia setelah bertahun-tahun meletup di negara jiran. Sebenarnya sebelum itu berpuluh-puluh, malah beratus-ratus band-band indie Malaysia sedang menunggu album mereka direkodkan kerana syarikat-syarikat rakaman tempatan takut untuk mengambil risiko "Malaysiaku belum sampai SERU" yang saya sendiri tidak pasti siapa yang mengilhamkannya.
Hasilnya lihat sahajalah penguasaan industri muzik tempatan bukan kata untuk melebarkan sayap ke negara-negara jiran tetapi di tanahair sendiri pun masih lagi terkedek-kedek mencari tempat.
Tetapi bukanlah semua artis-artis Malaysia begitu kerana ada diantaranya sudahpun berjaya di persada dunia dan ada yang sudah mendapat gelaran tertentu. Ini kerana usaha mereka, bakat mereka dan juga idea mereka untuk memartabatkan industri muzik tanahair adalah hebat. Mereka bukanlah artis mee segera yang 'dihasilkan' oleh syarikat-syarikat tempatan yang hanya menggunakan artis-artis 'buatan' mereka itu untuk mengaut keuntungan semata-mata.

Sampai bilakah industri muzik (ataupun lebih tepat lagi semua industri) tempatan kita akan menjadi begini? Kerajaan dilihat seperti terlepas pandang tentang isu-isu begini kerana sibuk dengan kempen pilihanraya sana-sini sahaja.

Jadi hanya kita sebagai 'peminat' dan peminat sahajalah yang dapat merobah semua ini kerana tanpa kita semua siapalah mereka.

P/S : Tepuk dada tanya selera.

Filem : Muallaf & Histeria


Dua buah filem 'Melayu' Muallaf oleh pengarah Yasmin Ahmad dan Histeria oleh James Lee yang ternyata memperlekehkan orang Melayu dan agama Islam akan ditayangkan sedikit masa lagi dan pihak berkuasa agama patut mengkaji dan menimbangkan tindakan undang-undang syariah.

Yasmin yang amat bangga dengan filem-filemnya seperti Sepet,Gubra dan Mukhsin sudahpun menayangkan Muallaf di Singapura kerana republik itulah Yasmin dapat memaparkan falsafahnya mengenai Melayu dan Islam kerana dia tahu adegan-adegan itu pasti akan diharamkan di Malaysia.
Jadi apakah niat Yasmin membuka tayangan di Singapura walhal matlamat akhirnya ialah untuk memaparkan kritikannya terhadap Islam dan orang Melayu di Malaysia sendiri. Justeru Yasmin boleh dicap pengkhianat bangsa dan agama kerana membuka pekung di dada di negara jiran yang sememangnya sukakan hal-hal yang memalukan Malaysia.

Tidak malukan Yasmin dan tidak sedarkah dia bahawa dia sendiri telah diperalatkan oleh negara jiran itu?Lainlah kalau Singapura itu sebuah negara yang mempunyai rekod terbaik dari segi hak bersuara dan berkarya seperti New Zealand, Sweden, Denmark atau Norway.
Takkan Yasmin tidak tahu bahawa kalau dia sendiri rakyat Singapura dan cuba memperlekehkan kepimpinan negara itu dia mungkin akan dihadapkan ke mahkamah, didenda sampai muflis atau dihumbankan ke penjara.

Inilah kejahilan Yasmin yang masih melekat pada dirinya walhal dia dan syarikat pengiklanannya setiap tahun meraih rezeki yang melimpah ruah dengan syarikat-syarikat besar Malaysia.
Dalam Gubra, Yasmin memaparkan beberapa adegan yang semestinya akan menimbulkan kontroversi di Malaysia seperti adegan dimana seorang bilal memegang anjing dalam perjalanan ke surau untuk melaungkan azan solat Subuh. Dalam Muallaf pula Yasmin antara lain memaparkan adegan laungan azan dengan muzik opera sebagai muzik latarnya serta lagu gereja Amazing Grace menjadi latar file mini.

Umumnya Muallaf merupakan satu lagi usaha Yasmin untuk memaparkan kepercayaannya bahawa semua agama adalah sama iaitu mengajar manusia menjadi baik dan berbakti sesama manusia.
Dalam Sepet dan Gubra, Yasmin memaparka pelpagai adegan yang memperlekehkan orang Melayu dan Islam manakala menerusi Mukhsin pula Yasmin mahu anak-anak Melayu Islam bercinta (mendekati zina) dari zaman kanak-kanak lagi kerana bagi Yasmin cinta adalah sesuatu yang 'murni'. Dia ternyata amat jahil sekali dalam soal ini kerana selain daripada urusan hariannya dengan sesama manusia, tiap umat Islam juga mempunyai urusan dan tanggungjawabnya dengan Pencipta yang Maha Besar.

Pendirian Yasmin ini (dan ramai juga dikalangan orang Melayu sendiri) haruslah dikaji dan disiasat kalau orang seperti ini patut dibawa ke mahkamah syariah untuk menghadapi tuduhan jenayah syariah.
Filem Histeria arahan pengarah China, James Lee dibiayai oleh syarikat bukan Islam dan ianya juga mengetengahkan unsur-unsur negatif yang tidak relevan seperti kisah cinta sejenis atau lesbianisme di kalangan pelajar perempuan Melayu dalam cerita tersebut dan ianya dianggap biasa ataupun trend masa kini.
Kes-kes seperti ini seperti sudah menjadi kebiasaan dalam masyarakat Malaysia dan perlu diambil tindakan segera oleh kerajaan untuk membendung ia dari terus merebak seperti kanser dan bukan hanya setakat mengharamkan melalui majlis fatwa semata-mata sahaja.

Masyarakat Melayu patut lebih peka dengan apa yang dilakukan oleh syarikat-syarikat hiburan bukan Islam (malah syarikat Islam sendiri) yang langsung tidak mempedulikan apa yang akan terjadi kepada bangsa Melayu dan agama Islam asalkan mereka dapat mengeksploit anak-anak Melayu demi mengaut keuntungan.

P/S : Malaysia kah kita?

Info : Melatih Otak Dengan Internet


Kajian saintis mendapati aktiviti melayari internet untuk mencari maklumat membantu mencerdaskan fungsi otak manusia. Para pengkaji di University of California Los Angeles, mengkaji mereka yang melakukan pencarian maklumat di laman web serentak dengan itu aktiviti otak mereka dirakam dengan alat scan, magnetic resonance imaging (MRI).
"Apa yang kami lihat adalah mereka yang melakukan kegiatan berinternet menggunakan lebih banyak sel otak mereka ketika melakukan pencarian," kata Dr. Gary Small, seorang doktor pengkaji rahsia berumur panjang (geriatri) UCLA, menjelaskan dalam satu wawancara berita. "Hal ini menunjukkan bahawa hanya dengan melakukan pencarian di internet dapat melatih otak - yg mungkin dapat menjaga otak kita agar sentiasa aktif dan sihat," lanjut Small, yang kajiannya diterbitkan di American Journal of Geriatric Psychiatry.
Banyak pengkaji telah menemui bahawa aktiviti mental yang mencabar seperti bermain puzzle dapat membantu menjaga fungsi otak namun hanya sedikit yang melihat peranan yang mungkin dimainkan oleh internet. Aktiviti membaca buku pula dikaitkan dengan visual cortex bahagian dari otak yang mengendalikan fungsi baca dan berbahasa menjadi aktif.
"Ini adalah kali pertama seseorang mendapatkan simulasi untuk melakukan tugas pencarian di internet sambil otak mereka diimbas (scan). Dalam melakukan tugas pencarian di internet, ada aktiviti yang jauh lebih besar, namun hanya di dalam kelompok yang telah mengenal internet," tambah beliau.
Dia mengatakan aktiviti tersebut jelas pada mereka yang telah terbiasa menggunakan Internet dan dapat melibatkan otak ke tingkat aktiviti yang lebih hebat. "Ada sesuatu dengan pencarian di internet di mana kita dapat mengukurnya pada tahap yang kita anggap mencabar," kata Small lagi.
Aktiviti yang menjaga otak agar tetap terlibat dapat memelihara kesihatan otak dan kemampuan berfikir.
P/S : Kesimpulannya adalah rajin-rajinlah anda melayari Google, Yahoo dan terutama sekali Facebook untuk kesihatan otak anda. :-)